Tuesday, October 18, 2022

 EPISODE 8 : MALAM PERTAMA YANG MENYIKSAKAN

Di dewan besar kami diraikan penuh meriah sebagai kumpulan pelajar baharu sebuah Sekolah Berasrama Penuh yang baru dinaiktaraf. Seramai 150 orang pelajar, semuanya lelaki. Bergetar jiwa remaja kami bila dilayani penuh mesra oleh kakak-kakak senior terdiri dari pelajar Tingkatan 5 dan Enam atas. Di malam ini juga bakat kami sebagai pelakon/ penyanyi/ pemuzik diketengahkan. Di mana aku?

Keseronokan kami di dewan terbawa-bawa hingga ke asrama apabila lampu dipadamkan. "Turun!, turun!, turun!" terdengar suara keras memberi arahan. Aku tidak dapat mengagak dari mana jeritan itu. Tetapi secara spontan kami telah berada di gelanggang tenis yang menjadi padang kawad kami petang tadi. Rupanya gelagat kami sentiasa diperhatikan oleh sekumpulan pengawas yang aku kira seumpama sekawan harimau yang sedang menunggu masa untuk membaham kami, pelajar-pelajar baru. Kami berdiri tegak tentera sepanjang dua jam di padang kawad itu hingga jam 2.00 pagi. Kami letih dan lesu yang amat sangat. Tiada secebis rasa simpati di hati mereka yang menghukum kami, pelajar-pelajar baru, Kami pasrah jer...



Monday, October 10, 2022

Jalinan Ukhwah Di Perantauan






EPISOD 1

Pagi itu, abah suruh aku bersiap awal kerana kami perlu ke Hospital Batu Pahat menaiki kereta sewa Pak Chikku. Setibanya di sana, aku lihat sudah ramai mereka yg menunggu giliran utk membuat pemeriksaan doktor atas pelbagai sebab. Aku membelek-belek no giliran yg ada di tanganku. Sabar, masih lama lagi utk aku dipanggil berjumpa doktor.  Aku cuba menenangkan diri dengan berfikir yg baik- baik saja. Namun, ingatan buruk tetap masih mampu menyelinap ke dalam kotak fikirku. Mungkinkah aku akan gagal dlm ujian ini? Semakin lama menunggu di kerusi ini, aku menjadi semakin gelisah. Benarlah, penantian itu suatu penyiksaan.

Tidak lama kemudian, namaku dipanggil untuk masuk berjumpa doktor. Aku menghulurkan borang pemeriksaan kesihatan yang ada padaku berserta filem x-ray yg telah siap diambil seminggu lebih awal. Selesai doktor membuat pemeriksaan dan menurunkan tandatangannya di borang yg aku berikan tadi, aku menarik nafas lega.

Abah setia menungguku di luar. Ujian pertama selesai, kini ujian kedua menanti. Bagaimana aku akan ke sana? Siapa akan menghantar aku? Aku budak kampong yg tidak pernah berjauhan denga keluarga. Aku pernah mendengar perbualan mak dengan abah pada suatu malam. Mak agak keberatan untuk melepaskan aku pergi. Namun, abah sebagai ketua keluarga begitu tegas dengan keputusannya. Aku mesti diberi peluang untuk pergi.



Bersambung...


Wednesday, October 5, 2022

 EPISODE 5: MEMULAKAN RUTIN HIDUP BARU

Entah bila aku terlelap tetiba aku dikejutkan oleh seruan azan Bilal Masjid Jamek Kepala Batas. Rasanya baru sebentar saja aku tidur dan belum hilang penat yang dirasakan.

Aku teringat pesanan abah, Solat jangan ditinggalkan. Di rumah, setiap kali waktu Subuh, abah akan pastikan kami adik beradik akan bangun menunaikannya walau dalam keadaan apa sekalipun.

Aku bingkas bangun dan bersiap untuk memasuki bangunan masjid yang gagal kami lakukan awal pagi tadi. Selesai solat, jam 7:30 kami sudah berada di dewan besar sekolah tempat pendaftaran pelajar baru. Selesai urusan pendaftaran, ketika mengemas barang2 untuk ke asrama, baru aku sedar, sesuatu yang diamanahkan oleh abangku telah tiada. Mungkin tertinggal semasa dalam perjalanan semalam tetapi pesanannya, 'JANGAN MEROKOK' masih terngiang-ngiang di telingaku hingga ke hari ini. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupanmu BB.



Di antara ramai pelajar yang berada di dewan ketika pendaftaran tadi, aku terlalu asyik memerhatikan kelibat mereka yang memakai baju berwarna biru muda persis warna sebuah parti politik di negara kita, berseluar putih, lengkap bertali leher dan berkasut hitam. Lagaknya lebih dari seorang guru, arahannya keras dan ada ketikanya kasar mengikut penilaianku. Maklumlah, aku dibesarkan dengan penuh kelembutan oleh emak yang pada aku sangat memanjakan aku hingga saat aku perlu meninggalkannya di kampung halaman yang kini mula aku rindui.



Sunday, October 2, 2022

 EPISODE 7: BILA AKU DIPINGGIRKAN

Menelusuri saat manis bergelar atlet sekolah, aku teringat sejarah silamku di sekolah rendah yang telah merencatkan pembentukan diri ku sebagai pemimpin.

Ceritanya bermula bila aku dilantik memimpin senamrobik untuk dipersembahkan sebagai acara pembukaan sukan tahunan sekolahku, Sekolah Kebangsaan Senggarang. Entah kenapa aku hilang kepercayaan diri dan bertekad untuk menarik diri daripada mengetuai acara tersebut. Bukan susahpun, "just tiup je wisel, peserta akan bertukar dari satu gerakan kepada gerakan yang lain. Mudahkan?"

Aku tidak menyangka tindakan aku itu telah membawa kepada terlucutnya jawatan pengawas yang aku sandang dan aku tidak dibenarkan sama sekali menjejakkan kaki ke padang yang menjadi tumpuan acara balapan pada Hari Sukan Sekolah nanti. Mujur seorang guru, Cikgu Mahadi dapat mengesan bakatku dalam sukan olahraga dan turut merasai peritnya diperlakukan sedemikian oleh rakan sejawatnya atas tindakan aku itu. Beliau secara rahsia, menasihati aku supaya turun menyertai acara lari berganti-ganti 4x100 m dan akhirnya pasukan kami muncul sebagai Johan. Terima kasih Cikgu Mahadi. 

Beridolakan Cikgu Mahadi, cikgu yang mendidik dengan kasih sayang, meraikan pendirian pelajar dan menyelesaikan permasalahan dengan hikmah, aku mengharungi kerjaya sebagai pendidik bermula pada 24/4/1980 hinggalah aku dipaksa bersara wajib pada 29/12/2016.



 EPISODE 6: RUMAH JERAI

Kalau ada ayah dan ibu, takkan begini nasibku

gambar emak dan abah

Tekaanku tepat, mereka yang berpakaian seperti yang aku gambarkan tadi adalah Pengawas Sekolah dan kelihatannya sangat berkuasa. Boleh menghukum kami pelajar baru tanpa rasa kesihan belas. 

Aku mula membuat penilaian, siapa yang baik dan boleh membantu aku menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sangat asing ini. Tiga insan yang masih aku ingati namanya hingga kini, Mohd. Zawawi bin Hassan, Fauzi bin Ahmad Shahimi dan insan yang sangat istimewa yang akhirnya menjadi Kakak angkat aku, Kak Siti Mayang binti Abd. Rani. Tiga nama ini akan muncul dalam siri penulisan ini buat membuka lambaran ukhwah saat kembaraku di perantauan.


Aku ditempatkan di Blok C yang ketika itu menempatkan rumah Jerai dan Ledang. Latihan rumah sukan bermula seawal bulan February kerana mengikut kelendar aktiviti sukan dan permainan yang disediakan oleh KPM, Kejohanan MSSM biasanya akan diadakan pada bulan April. Minat terhadap sukan yang memang begitu mendalam sejak aku di bangku sekolah rendah lagi kembali membugar dalam diriku. Tumpuan aku pada acara lari 100, 200 dan 4x100 dan lompat jauh tidak sia-sia. Aku muncul juara pecut 100 dan 200 meter. Di sini, bermulalah aku sebagai atlet mewakili SMSAH di kejohanan sukan MSSK sehinggalah aku menamatkan persekolahan ku di Jenan pada tahun 1975. Pernah aku disapa oleh Pengetua waktu itu, Encik Muzaffar Tate, 'awak masih aktif bersukan dan awak satu-satunya pelari 4x100 sekolah yang belajar di Tingkatan 6 atas.' Sapaan yang masih terngiang-ngiang di telingaku bila mengingati hari-hari keaktifan aku dalam bidang olahraga. Alhamdulillah, ianya tidak mengganggu tumpuanku pada pelajaran.



 EPISOD 3: SMSAH Kami Datang

Hari yang dijanjikan untuk kami bertemu akhirnya tiba, 30 Januari 1972 di Simpang Rantai, Batu Pahat. 


Tepat jam 12:00 tengahari teksi yang disewakan untuk membawa kami bertiga bergerak meninggalkan Batu Pahat. Sahir ditemani bapanya, Saufi juga ditemani bapanya dan aku? 

Tepat telahan ku, abah tidak akan mengiringi aku dalam perjalanan ini. Bukan kerana kurangnya kasih sayangnya padaku tapi demi tugas yang perlu dilaksanakannya. Aku pasrah. Ujian berjauhan dengan keluarga perlu aku mulai dengan cara ini. 

Setibanya di Muar, ayah Shahir turun untuk menziarahi adiknya. Bertuahlah Saufi kerana ditemani oleh ayahnya hingga ke destinasi yang kami tuju. Hampir jam 2:00 pagi 31/1/1972, teksi yang kami naiki sampai dipintu pagar utama SMSAH. 




Berkunci. Ke mana harus kami tuju? Tiada saudara mara, kenalan yang dapat kami hubungi...



 EPISODE 4: BERATAPKAN LANGIT BERTEMANKAN BINTANG

Kami perlu membuat keputusan sesegera mungkin bagi memenuhi tuntutan fizikal kami yg begitu kelesuan akibat perjalanan yang begitu jauh. Pakchik driver mencadangkan kami mencari masjid yang terdekat untuk berehat. 

Kami betpatah balik menghala ke Alor Setar dan menemui masjid yang dicari, Masjid Jamek Kepala Batas. Perasaan gembira untuk dapat berehat di dalam rumah Allah berakhir dengan kekecewaan kerana semua pintu berkunci rapat. Ini fenomena yang sering kita temui dan ujian buat kami rupanya belum berakhir. 


Aku dan dua rakanku membentang helaian surat khabar yang menjadi bacaan kami sepanjang perjalanan siang tadi di halaman masjid dan terus merebahkan badan untuk berehat. Aku tidak dapat terus melelapkan mata kerana inilah pengalaman pertama aku perlu tidur tanpa bantal dan tilam. Fikiranku melayang dan;

 'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka. (Ali-Imran: 190-191)

Ini rupakan hikmah di sebalik ujian yang didatangkan kepada aku dalam perantauan pertama sepanjang hidupku.



 EPISOD 2 : Pertemuan yang tidak diduga

Selesai urusan pemeriksaan doktor, aku dan abah berjalan beriringan menuju ke pintu keluar hospital. Tiba-tiba kami disapa oleh seseorang. Buat 'medical checkup', nak ke mana? Abah pantas menjawab, anak saya ni nak sambung belajar ke Kedah tapi x tahu  nak pergi dengan siapa, naik apa? Saya pulak masih bekerja. Abah dalam usia 54 tahun masih ada setahun lagi perkhidmatan nya dengan Kerajaan Negeri Johor. 

Penilaian aku, abah seorang yang sangat berdedikasi dalam kerjayanya. Setiap hari, tepat jam 11.00 pagi dia akan mengayuh basikalnya untuk ke tempat kerjanya yang terletak kira2 9km dari rumah kami. Aku pasti, abah tidak akan menghantar aku ke sekolah baru ku. Mengikut kiraanku, jarak yg perlu aku tempuhi untuk sampai ke sana melebihi ratusan km dari kampung halamanku. Noktah

Setelah abah dan dua orang penjaga yg juga menemani anak2nya saling berkenalan dan berbual seketika, kami pula menghulur salam perkenalan. Saya, Mohd. Shahir Kadeni dan saya, Mohd. Saupi Asraf. Nampaknya kami akan bergerak ke destinasi yang sama, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), JITRA.


  Ramadhan datang lagi. Syukur, Alhamdulillah aku masih diberi peluang untuk mengerjakan ibadat puasa buat sekian kalinya di usia 67 tahun...