Wednesday, October 5, 2022

 EPISODE 5: MEMULAKAN RUTIN HIDUP BARU

Entah bila aku terlelap tetiba aku dikejutkan oleh seruan azan Bilal Masjid Jamek Kepala Batas. Rasanya baru sebentar saja aku tidur dan belum hilang penat yang dirasakan.

Aku teringat pesanan abah, Solat jangan ditinggalkan. Di rumah, setiap kali waktu Subuh, abah akan pastikan kami adik beradik akan bangun menunaikannya walau dalam keadaan apa sekalipun.

Aku bingkas bangun dan bersiap untuk memasuki bangunan masjid yang gagal kami lakukan awal pagi tadi. Selesai solat, jam 7:30 kami sudah berada di dewan besar sekolah tempat pendaftaran pelajar baru. Selesai urusan pendaftaran, ketika mengemas barang2 untuk ke asrama, baru aku sedar, sesuatu yang diamanahkan oleh abangku telah tiada. Mungkin tertinggal semasa dalam perjalanan semalam tetapi pesanannya, 'JANGAN MEROKOK' masih terngiang-ngiang di telingaku hingga ke hari ini. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kehidupanmu BB.



Di antara ramai pelajar yang berada di dewan ketika pendaftaran tadi, aku terlalu asyik memerhatikan kelibat mereka yang memakai baju berwarna biru muda persis warna sebuah parti politik di negara kita, berseluar putih, lengkap bertali leher dan berkasut hitam. Lagaknya lebih dari seorang guru, arahannya keras dan ada ketikanya kasar mengikut penilaianku. Maklumlah, aku dibesarkan dengan penuh kelembutan oleh emak yang pada aku sangat memanjakan aku hingga saat aku perlu meninggalkannya di kampung halaman yang kini mula aku rindui.



No comments:

Post a Comment

  Ramadhan datang lagi. Syukur, Alhamdulillah aku masih diberi peluang untuk mengerjakan ibadat puasa buat sekian kalinya di usia 67 tahun...