Thursday, March 23, 2023

 

Ramadhan datang lagi.

Syukur, Alhamdulillah aku masih diberi peluang untuk mengerjakan ibadat puasa buat sekian kalinya di usia 67 tahun. Setiap kali menjelang 1 Ramadhan aku pasti tidak dapat melupakan sebuah catatan sejarah hidup aku pada 1 Ramadhan 1394 (17/09/1974). Bagaimana mungkin aku melupakannya
?

Saat itu aku baru saja pulih dari kejutan kehilangan seseorang yang sangat dekat dengan diriku. Abah meninggal dunia pada 18/06/1974 tanpa dapat aku tatap wajahnya buat kali terakhir. Jarak memisahkan kami. Aku di Jenan, abah meninggal di kampung halamanku di Sg. Lurus, Senggarang. Aku sampai di kampung, sehari selepas urusan pengkebumiannya selesai disempurnakan.

Aku di SMSAH, Jenan meneruskan pendidikan menengahku di Tingkatan 6 Rendah. Kembali ke sekolah setelah seminggu di kampung, menuntut kekuatan semangat mengharungi hidup tanpa abah. Kakak angkatku semasa aku di Tingkatan 4 dulu tidak lagi berada di SMSAH. Kosong.., kosong… aku melihat kehidupan jauh dari keluarga dan rakan sepermainan semasa kecil.

Aku cuba menguatkan semangat untuk terus belajar bagi menggapai cita-cita menjadi insan berjaya. Ini juga pesanan terakhir yang arwah abah sampaikan pada emak beberapa waktu sebelum dia kembali menghadap Ilahi.

Aku cuba menghilangkan kesedihan dengan mengikuti pelbagai aktiviti seperti bersukan, mewakili sekolah dalam olahraga, pasukan hoki dan ragbi. Aku juga dipilih oleh Ustaz mewakili SMSAH dalam pertandingan Tafsir Al-quran hingga beroleh gelaran Naib Johan peringkat Negeri Kedah. Namun begitu ada sesuatu yang jarang aku lakukan di usia remajaku telah aku turuti.

Aku mengutus sepucuk surat kepada seseorang. Pagi hari itu, kami pelajar asrama dibenarkan keluar ke Pekan Jitra kerana hari cuti umum. Selesai urusan di Jitra, aku pulang ke asrama menaiki bas dan berhenti betul-betul di hadapan sepohon pokok yang sering menjadi tempat kami menunggu bas untuk ke Alor Setar.

No comments:

Post a Comment

  Ramadhan datang lagi. Syukur, Alhamdulillah aku masih diberi peluang untuk mengerjakan ibadat puasa buat sekian kalinya di usia 67 tahun...